Thursday, December 5, 2013

UBAT - UBATAN YANG DISEBUT DALAM WAHYU

بسم الله الرحمٰن الرحيم

Islam menganjurkan umatnya menjaga kesihatan dan berubat bila ditimpa sakit, selama mana caranya tidak bercanggah dengan Syariat. Cara berubat yang menyanggahi syariat adalah seperti berubat dengan bomoh, dukun, kuasa-kuasa ghaib, besi panas dan benda-benda haram seperti yang dinyatakan larangannya dalam nas-nas Syarak.

Usaha untuk mencari kesembuhan dan ubat adalah sebahagian dari tawakkal seperti mana dijelaskan oleh Syaikh Shafiyyurrahma Al Mubarakfuri rahimahullah ketika menjelaskan hadits: “Setiap penyakit ada ubatnya..” 

Beliau menjelaskan, “Di dalamnya terdapat dorongan untuk berubat dan mengambil sebab, dan bahawasanya yang demikian itu termasuk dari taqdir Allah. Bahkan ia termasuk menuntut taqdirNya jika dia berkeyakinan dia akan sembuh dengan izinNya. Iaitu seperti menolak rasa lapar dengan makan dan haus dengan minum.” (Minnatu Al-Mun’im Syarh Sahih Muslim)

Dalam banyak-banyak ubat untuk penyakit fizik, ubat yang terbaik tentu sahaja ubat yang Allah telah nyatakan sendiri di dalam wahyuNya.

Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah rahimahullah berkata, “Siapa yang tidak dapat disembuhkan oleh Al-Quran, bererti Allah tidak memberikan kesembuhan kepadanya. Dan siapa yang tidak dicukupkan oleh Al Quran, Allah tidak akan memberikan kecukupan kepadanya.” (Zaadul Ma’ad)

Al-Quran adalah ubat yang paling mujarab bagi penyakit hati mahupun jasmani. Penyakit hati/rohani adalah penyakit yang paling berbahaya dan lebih perlu ditangani berbanding penyakit pada anggota tubuh kerana jika ia tidak dirawat, ia membawa kebinasaan yang berkekalan.

Maka Al-Quran adalah ubat paling mujarab bagi penyakit jenis ini seperti mana firman Allah Ta'ala,

وَ نُنَزِّلُ مِنَ القُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَ رَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِيْنَ

Dan Kami turunkan dari Al Quran, yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang beriman.” (Surah Al-Isra’: 82)

Imam Ibnu Katsir rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini berkata, “Ertinya menghilangkan apa yang ada di dalam hati dari penyakit-penyakit berupa keraguan, kemunafikan, kesyirikan, keberpalingan, dan kecondongan (kepada kebatilan). Maka Al Quran dapat menyembuhkan dari semua itu.” (Tafsir Al Quran Al-‘Azhim)

Penyakit jenis kedua adalah penyakit fizikal atau jasmani. Dalam merawat penyakit ini, Syariat Islam yang lengkap sempurna turut menyediakan cara rawatan yang boleh digabungkan keduanya; iaitu perubatan yang bersifat rohani melalui bacaan ayat-ayat ruqyah dari Al-Quran dan doa-doa yang diajar oleh Nabi sallallahu 'alaihi wasallam yang terkandung dalam Hadis sahih, dan perubatan menggunakan bahan-bahan tertentu.

Perubatan dengan membaca ruqyah ini boleh jadi lebih cepat dan berkesan, bergantung pada izin dan kehendak Allah serta kekuatan iman serta keyakinan orang yang melakukan ruqyah tersebut. Ruqyah boleh dilakukan terhadap apa jua jenis penyakit, tidak khusus pada orang yang terkena sihir atau rasukan makhluk halus sahaja.

Ini seperti yang dicontohkan oleh para Sahabat radhiyallahu ‘anhum ajma’in di mana mereka membacakan surah Al-Fatihah kepada kepada penghulu kampung yang disengat kala jengking, lalu setelah itu dia pun sembuh. Apabila hal itu diceritakan pada Rasulullah sallallahu 'alaihiwasallam, Baginda membenarkan perbuatan tersebut dan membolehkan para sahabat menerima hadiah yang diberikan kepada mereka dari ruqyah tersebut. (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Imam Ibnu Al-Qayyim menceritakan pengalamannya, “Suatu ketika aku pernah jatuh sakit namun aku tidak menemui doktor atau ubat penyembuh. Lantas aku berusaha mengubati diriku dengan surah Al-Fatihah, aku pun melihat pengaruh yang sangat menakjubkan. Aku mengambil segelas air zamzam dan membacakannya surah Al-Fatihah berulang kali, lalu aku meminumnya sehingga aku mendapatkan kesembuhan total. Selanjutnya aku bergantung dengan cara seperti itu dalam mengubati pelbagai penyakit dan aku mendapat manfaat besar. Kemudian aku beritahu orang ramai yang mengeluhkan suatu penyakit dan kebanyakan mereka sembuh dengan cepat.” (Al-Daa' wa Al-Dawaa')

PERUBATAN DENGAN BAHAN MAKANAN

1. Habbatus Sauda' (jintan hitam)

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda, “Sesungguhnya di dalam habbatu sauda’ terdapat ubat untuk semua penyakit kecuali kematian.” (Al-Bukhari dan Muslim). 

2. Madu

Firman Allah Jalla wa ‘Ala, “Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia.” (QS. An Nahl: 69)

3. Minyak zaitun

Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda, “Makanlah minyak zaitun dan bermiyaklah dengannya (sapukan tubuh dengan minyaknya), kerana ia berasal dari pohon yang penuh barakah.”
(Riwayat Al-Tirmizi dan Ibnu Majah)

4. Bekam

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda, “Sesungguhnya sebaik-baik apa yang kalian perbuat untuk mengubati penyakit adalah dengan berbekam.” (Riwayat Ahmad, Abu Dawud, Ibnu Majah, dan lainnya)


Dan masih banyak lagi ubat-ubat yang ditunjukkan dalam syariat yang sudah pasti tidak tidak diragukan sedikitpun kebenaran dan khasiatnya, kerana ia datang dari wahyu Allah, Tuhan yang menciptakan sakit dan ubatnya, dan Tuhan yang menyembuhkan penyakit.

Semoga umat Islam terus yakin dalam mengamalkan pemakanan dan perubatan Nabawi ini dalam usaha mencegah penyakit (tentu sahaja ini lebih utama) dan merawatinya.

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
Madu Terbaik dari Lembah Hadramaut YAMAN Gred A;
1KG MADU HADRAMAUT Gred A = RM400 
1/2 KG MADU HADRAMAUT GRED A = RM220

( SMS / Whatsapp UMM KHAIRAH 014-822 0192 UNTUK TEMPAHAN )
( PEMBORONG DIPERLUKAN )

No comments:

Post a Comment